Pengenalan

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.
An-Nahl:125


Dewasa ini, agama Islam dilabel oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai agama yang menyusahkan orang Islam dan orang bukan Islam. Disamping itu juga, secara perlahan sebahagian umat Islam di Malaysia khasnya mula mempersoalkan beberapa perkara yang melibatkan akidah termasuk beberapa isu sensitif antaranya Fatwa Pengharaman Pengkid dan Fatwa Senaman Yoga Secara Sistematik. Perkara ini timbul kerana kurangnya pengetahuan dan didikan agama disamping kurang memahami Al-Quran dan As-Sunnah. Golongan ini tidak diterapkan dengan agenda mengenali Allah dan Rasul-Nya (Muhammad s.a.w) dengan usaha yang gigih, makanya perasaan cinta itu gagal wujud di dalam jiwa-jiwa kebanyakan mereka. Mereka lebih diberi pendedahan kepada hal-hal yang berkaitan hiburan dan perkara duniawi. Makanya, hati mereka lebih terdorong dan terkesan ke arah itu. Disebalik konflik itu, ada beberapa pihak cuba menangguk di air keruh dengan cuba menyebarkan dakyah-dakyah agama lain seperti Kristian, Buddha dan lain-lain. Isu penggunaan perkataan Allah menggantikan perkataan God yang dituntut oleh majalah Herald iaitu akhbar Kristian di Malaysia juga memerlukan pencerahan agar tidak menimbulkan keraguan kepada generasi belia Melayu Islam yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara. Malangnya gerakan dakyah agama lain ini mendapat perhatian masyarakat setempat dan ada sebahagian orang Islam termakan hasutan gerakan ini.

Oleh itu, kami di sini cuba membawa mahasiswa diseluruh IPT amnya untuk hadir ke satu program iaitu Seminar Kitalah Mentari Itu yang bertemakan ‘Mencari Kebenaran Bersama Al-Quran ,Menyingkap Sejarah Umat Gemilang’ bertempat di Dewan Seminar Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Kampus Puncak Perdana. Pengisiannya adalah tidak lain dan tidak bukan untuk mengembalikan kita kepada ajaran agama Islam yang sebenar iaitu melalui jalan hidup yang berpandukan sepenuhnya pada Al-Quran dan Al-Hadis . Sebagaimana firman Allah s.w.t berikut:
Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan sebuah Kitab (Al Quran) kepada mereka yang Kami telah menjelaskannya atas dasar pengetahuan Kami; menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Al-A’araf:52

Selain itu juga, program ini merupakan satu platform bagi memperkenalkan Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam(CITU), Persatuan Mahasiswa Hadhari(PMH) dan UiTM Kampus Puncak Perdana kepada warga UiTM dan universiti-universiti lain. Program yang julung-julung kali diadakan ini dapat menyuntik semangat untuk bersaing dalam bidang kokurikulum serta aktif dalam aktiviti berpersatuan sebagaimana yang digalakkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar.